Pages, 2010, 2011, 2012

SEKOLAH AGAMA PETANG

Malam Jumaat yang lalu kakakku menelefon aku meminta aku ke JB untuk mengambil seorang lagi kakakku kerana nak ke kenduri adik aku Zakiah dan keluarganya untuk menunaikan fardhu haji.  Maka aku dan suami pun pergilah ke JB awal pagi..... sampai di JB pukul 1.30 tengah hari dan selepas makan tengah hari di rumah kakakku Zainiah, kami pun balik ke KL - sampai KL pukul 7.00 malam. 
      Keesokan harinya kami pun berkonvoi balik kampungku Kg. Salak Tinggi, dekat KLIA tu... (bila kawan-kawanku bertanya mana kampungku, aku katakan KLIA ceh... eksenlah sikit...).  Kenduri pun dimulakan dengan bersembahyang zohor berjemaah dan diikuti dengan bacaan yassin.  Selepas habis acara semua tu kami pun mulalah menjamah makanan yang dihidang.  Dalam pada itu tetamu datang silih berganti untuk mengucapkan selamat jalan kepada adikku dan keluarganya sambil mereka juga menjamu selera yang dihidangkan.  Semua tetamu berbual-bual sama ada sesama sendiri dan juga tuan rumah.  Dalam pada itu, maka sampailah salah seorang sedaraku ni dengan suaminya yang juga jiran kami semasa kecil.  Kakakku Zainiah ni tinggal di JB, manakala suami sedaraku ini namanya Abang Nan, mereka pun bercerita kisah-kisah mereka kecil-kecil dulu.

Salah satu cerita mereka ialah di mana satu hari semasa bersekolah agama petang, selepas menghadiri sekolah agama seperti biasa pukul 5.00 petang kelas tamat, mereka ke masjid bersembahyang jemaah dengan ustaz.  Selepas sembahyang, sebahagian daripada budak-budak laki-laki ni pergi mandi di sungai yang bersebelahan dengan sekolah agama dan juga kedai kopi dan kedai runcit Pakcik Ali Basha.  Mereka pun bermandi-mandian sambil terjun dan berenang dengan riuh rendah bunyinya.

Dalam pada keriuhan itu, ayahku (Penghulu Kampungku ketika itu) pun lalu dengan kereta Moris Minornya M 5005 (ingat lagi nombor pendaftaran keretanya).  Apabila ayahku melihat ke kiri dalam perjalanan nak balik ke rumah, dia nampak ramai budak-budak laki-laki bergembira mandi sungai (ber........ bulat).  Beliau pun meletakkan keretanya di sebelah kedai Pakcik Ali Basha, lalu dengan perlahan menuju ke arah tepi sungai tempat budak-budak tu sedang mandi.  Dengan perlahan-lahan ayahku mengambil semua baju-baju yang bersepah di tepi sungai dan membawanya ke dalam kedai dan meletakkannya di atas meja.

Dalam pada itu hari sudahpun nak masuk waktu maghrib, ayahku menunggu dengan sabar.  Budak-budak laki-laki yang mandi manda tu pun sedar hari dah petang, maka mereka pun naik ke tebing mencari sesuatu tetapi tidak berjumpa.  Entah bagaimana adalah seorang pakcik yang melihat gelagat mereka itu sambil berteriak bahawa pakaian mereka ada di dalam kedai.  Dengan malu-malu mereka mematahkan daun keladi untuk menutup ..... sambil berjalan terkengkang-kengkang menuju ke dalam kedai.  Apabila terlihat saja ayahku mereka pun terkejut sambil menuju kepadanya dengan ketakutan.  Ayahku memanggil mereka seorang demi seorang untuk mengambil pakaian masing-masing sambil memegang rotan.  Sebaik sahaja mereka mengambil pakaian maka kenalah satu kali rotan di punggung.  Aduh!... sakitnya kata mereka.  Orang-orang kampung yang berada di dalam kedai pun tercengang-cengang tetapi tersenyum setelah mengetahui cerita sebenarnya.

Itulah ceritanya dan salah seorang daripada mereka yang kena rotan ialah abang Nan...He..he.. he..  nasib baik saya tak berada di situ, kerana saya selalu mengikut ayah saya ke mana sahaja dia pergi (sama ada melihat kawasan kampung, berjumpa orang kampung dan apa sahaja urusan kerjanya di sekitar kampung saya memang tidak pernah miss....).  Tetapi saya tidaklah menjadi wakil rakyat, hanya kakak saya sahaja yang pernah menjadi wakil rakyat dan menteri kabinet.  Walau bagaimanapun saya amat berbangga dengan keperihatinan ayah dengan tugasnya yang hanya sebagai Penghulu pada waktu itu (tahun 1960an).