Pages, 2010, 2011, 2012

KISAH-KISAH

Sepanjang perkhidmatan saya, saya telah bertukar-tukar bahagian dan hampir kesemua bahagian di jabatan saya bertugas, alah biasalah sebagai seorang Pentadbir kenalah bertukar-tukar di bahagian yang lain.  Setakat perkhidmatan saya selama 37 tahun saya telah bertugas hampir di semua bahagian dan di saat akhir perkhidmatan telah bertukar untuk round kedua.

Sepanjang kisah ini ada kisah di Bahagian Kewangan yang amat mencuit hati saya.  Kisahnya rakan saya ni bernama Ridzuan Ismail, beliau ini orang muda dan memulakan karier di jabatan saya sebagai Pembantu Tadbir.  Satu hari pada hari Jumaat, di mana waktu rehat yang panjanglah katakan... seperti biasa kami yang wanita kalau tak window shoping, duduk-duduk menjahit baju kurung atau membaca atau berbual-bual.  Maka waktu rehat pun habis dan kami pun memulakan tugas di sebelah petangnya.  Dalam pada itu unit kami didatangi oleh pelanggan yang ingin mengambil cek bayaran mereka tetapi urusan bayaran tersekat kerana penulis cek tidak ada.  Semua staf mencari penulis cek tetapi tidak kelihatan, orangnya tak lain tak bukan Sdr Ridzuan yang saya perkenalkan tadilah.  Kami pun lintang pukang berikhtiar untuk membuka laci meja beliau kerana buku cek disimpan dalam laci.  Akhirnya kami berjaya dan menguruskan bayaran seperti biasa.

Dalam pada kecoh-kecoh tu tiba-tiba Ridzuan pun timbul dan ketika dia melangkah masuk semua orang menjerit ke arah beliau.  Beliau terperanjat dan tercengang, Penyelia saya kalau tak silap Puan Latifah masa tu memanggil beliau dan bertanya mengapa lambat masuk pejabat dan menerangkan masalah yang kami hadapi semasa ketiadaan beliau yang mana beliaulah yang sepatutnya orang yang menulis cek tersebut.  Kami dari luar memandang ke dalam bilik Puan Latifah nak lihat apa yang akan terjadi kepada Ridzuan dan tertanya-tanya mengapa beliau lewat masuk.  Selepas beberapa lama, kami lihat Puan Latifah ketawa.  Selepas itu Ridzuan dipanggil pula oleh Ketua Bahagian kerana ketidakhadirannya menjadikan unit bayaran huru-hara.

Selepas perjumpaan dengan Ketua Bahagian, Ridzuan keluar dan bercerita kepada Kerani Kanan mengapa beliau  lewat masuk pejabat.  Ceritanya beliau tidak pergi sembahyang tetapi pergi menonton wayang di panggung Collisuem di Jalan Tuanku Abdul Rahman cerita Hindustan.  Pada mulanya katanya beliau bertekat akan keluar pukul 2.00 petang, tetapi jalan cerita yang menarik (hai cerita hindustan ken.. tau-taulah) dia leka dan seronok terus menonton tanpa menyedari masa yang beliau hadkan telah berlalu.  Sedar-sedar je cerita dah nak habis dan apabila melihat jam tangan sudah pukul 4.00 petang, ha.. sudah.. alamat banyaklah yang akan melenting katanya, tapi nak buat macam mana ya?  Cerita dah habis, maka beliau pun terus ke pejabat dan sesampai je di pejabat semua rakan-rakan memerhatikan dia masuk.  Ketua Bahagian tak jadi nak marah kerana Ridzuan bercakap benar dan tidak mereka-reka cerita dan beliau memaafkan dengan mengingatkan supaya tidak melakukan perkara yang sama di masa-masa akan datang.

Sdr Ridzuan sekarang telah pun menjawat jawatan Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan saya dan telah ditugaskan di beberapa-berapa bahagian.  Saya ketawa sendirian bila teringatkan sikap dan tingkah laku beliau yang selamberland - kata orang muda sekarang.  Tahniah kepada Ridzuan yang telah membina kerjaya setingkat demi setingkat.

No comments:

Post a Comment