Pages, 2010, 2011, 2012

KOLAM MATA AIRKU

Aku adalah anak bongsu dalam keluarga, kisah-kisah semasa kecil sangat memberi kesan yang mendalam terhadap diriku hinggalah masa kini, ahem..ahem.. masa senja ni lah..
Bermula ketika itu aku tak ingat berapa umurku tetapi rasanya dah sekolah darjah satu kot... aku sangat suka mandi sungai.  Ada satu keluarga di kampungku yang kami hormati kerana ketua keluarganya adalah ustaz yang dipanggil "Pak Ungku" yang mengajar kami di sekolah agama.  Selain daripada mengajar di sekolah agama, beliau dan isteri rajin membuat kuih untuk dijual di sekolah rendah di kampung kami tu. 
      Rumah beliau dipinggir hutan di belakang bangunan sekolah, setiap hujung minggu aku dan rakan-rakanku yang rata-rata mereka adalah anak-anak guru yang mengajar di sekolahku sama-sama menyusur tepi hutan mencari sesuatu yang pelik-pelik, maka kami pun menyusur satu anak air (mata air) dan kami  terpegun dengan keindahan kolam itu.  Rupa-rupanya itulah tempat mandi manda keluarga Pak Engku.  Kami pun menumpang mandi beramai-ramai.  Aku dapat bayangkan  betapa tenangnya air yang mengalir dari kolam itu, sambil itu memerhatikan ada ikan-ikan kecil berenang-renang di dalam kolam itu dan kami pun meninjau-ninjau dengan gembiranya.  Dalam pada melihat-lihat ikan berenang-renang, kami pun berpakat untuk mandi manda di situ maka kami pun menghabiskan masa berkecimpung di dalam kolam sambil membuat gelembong itik sambil bersorak-sorak gembira.  Ada juga ketika di hari-hari lain kami ulangi ke tempat itu dan ada juga insan lain penghuni hutan bersama-sama bermain di situ yang dapat dilihat bergayutan di atas pokok-pokok berdekatan.

       Selepas mandi manda di kolam, kami bermain di bawah bangunan sekolah mencari semut yang mana kami melihat lubang-lubang semut lalu dicocok dengan rumput panjang yang halus dan setelah dicocok, semut-semut itu akan keluar dan kegembiraan melihatkan semut-semut itu berjalan beriring-iring dengan tertib.....   Ketika itu maklumlah umur yang muda tidak terfikir kitaran kehidupan sang semut.... belum belajar ilmu alam lagi.  Dan lagi si satu sudut anak sungai yang sama juga iaitu dihilir sungai juga terdapat kolam yang dengkat dan di situ banyaklah didiami sang katak.  Puas juga kami menangkap berudu dimasukkan ke dalam botol dan di bawa balik.  Maklumlah di sekolah zaman itu kalau subjek sains kitaran hidupan katak adalah subjek yang unik.  Kami pun diarahkan oleh guru sains untuk mencari berudu dibawa ke sekolah dan dilihat kitaran hidupnya hinggalah menjadi katak..... gembiranya tak terhingga melihat akan putaran kejadian kehidupan katak....

        Itu part meneroka di pinggir-pinggir hutan.... pengalamanku seperti budak lelaki, ala apa tu yang dipanggil sekarang tom boy?  Ha.. tom boy.... ada juga di mana bapaku membela kambing, akulah menjadi gembalanya he..he.. tetapi menjadi gembala ketika kambing-kambingku dah tak tahu nak balik dan nak naik reban.  Ketika hari hampir senja, itulah kerja aku mengejar kambing-kambing supaya naik ke reban.  Kambing-kambing dulu pandai... bila keluar ke pandang meragut rumput ke atau ke mana-mana dia tetap akan balik rumah cuma baliknya dah nak senja tetapi part kelakarnya bila dia tak dapat cari pintu masuk reban... Ha... kat situlah peranan aku sebagai apa tu... ala... tak yah cakaplah tetntu anda tahu jawatan saya pada masa tu.... he.. he..

    Dalam pada itu, ada juga pengalamanku semasa pergi mengaji di waktu malam.  Selepas merebankan kambing, pergi mengaji, lepas maghrib aku akan pergi mengaji ke rumah pakcik Osman, rumahnya ditepi sungai juga, fuhh.... ada lagi sungai.... tapi dah malam tak berani nak ke sungai.  Aku pergi mengaji naik basikal yang gedabak iaitu basikal untuk orang lelaki yang besar (masa tu aku kecil naik basikal besar bayangkanlah bagaimana mengayuh, pegang kat galangnya saja tak duduk atas seatnya) kayuh bukan main laju, pecut macam Formula One... Waktu kami mengaji lebih kurang satu jam daripada 7.30-8.30 malam.  Lepas mengaji kami berlumba-lumba balik dengan basikal.  Ada juga yang jatuh tetapi bukan saya.... kesian dia, kami pun membantu dan kena marah juga kerana mengayuh basikal dengan laju kat jalan besar pulak tu.... fuhh... kena warning oleh bapaku.

       Sekarang aku amat merindui suasana seperti itu dan juga rakan-rakanku yang selalu dipanggil Kenit anak Cikgu Sahlan, Kenitlah yang selalu aku bawa dan ajak ke mana-mana sehinggakan ibunya pernah melarang aku membawa anaknya berjalan-jalan sekeliling kampung, bukan apa aku adalah anak Tok Penghulu di kampung tu kenalah melawat-lawat kawasan.  Kadang-kadang ada baiknya juga kerana pernah aku menemui satu keluarga yang baru pindah dan aku melaporkan kepada bapaku, maka bapaku sebagai penghulu di kampung perlu tahu hal ehwal penduduk seperti YB jugaklah...

No comments:

Post a Comment