Air Panas Girls School, Setapak, Kuala Lumpur sekolahku. Aku tinggal di Gombak dan bersekolah menengah di APGS bermula tahun 1969 dalam kelas peralihan. Kelas peralihan ialah untuk murid-murid daripada sekolah Melayu untuk memasuki menengah Inggeris, pada masa itu sekolah rendah, sekolah menengah ada dua aliran iaitu Melayu dan Inggeris. Aku dihantar ke sekolah menengah aliran Inggeris itulah pasal kena masuk kelas peralihan selama setahun. Setahun kemudian barulah dinaikan ke Tingkatan 1. Bagi murid-murid yang semasa sekolah rendah aliran Inggeris mereka akan terus ke Tingkatan 1 di sekolah menengah aliran Inggeris. Pada tahun 1970, pakaian seragam murid-murid di semua sekolah rendah dan menengah diseragamkan sehinggalah ke hari ini. Kalau nak tahu pakaian seragam sekolah bagi murid perempuan sekarang, pada zaman saya tingkatan satu dikuatkuasakan menjadi pakaian seragam yang standard hingga sekarang. Bagi murid-murid lelaki pula serba putih dan sekarang hanya seluar putih ditukar kepada warna hijau lumut ditukar kerana tidak sesuai seluar putih kerana pada azalinya murid lelaki sangat lasak. Selepas itu, pakaian seragam bagi murid-murid sekolah rendah pula diseragamkan bagi seluruh Malaysia. Tujuan penyeragaman ialah kerana sekiranya murid-murid bertukar sekolah mengikut keluarga yang bertukar (polis, tentera, jururawat dan sebagainya) tidaklah menjadi bebanan kepada keluarga untuk membuat pakaian seragam yang berbeza-beza di atara sekolah di Malaysia. Begitu juga dengan buku teks telah diseragamkan atas sebab-sebab seperti ini.
Aku ke sekolah naik bas khas yang disediakan oleh syarikat bas ialah Bas Len Seng. Kami membeli pas bas bulanan. Setiap pagi pukul 6.30 pagi kami sudah belongok-longok menunggu bas yang tiba pukul 6.45 pagi. Ceritaku ini pada masa itu belum ada kempen muhibbah dan memandangkan pada 1969 ada pilihanraya, maka satu insiden yang menjadi sejarah telah berlaku dan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Dipendekkan cerita pertumpahan darah pertelingkahan perkauman antara Melayu dan Cina dalam peristiwa 13 Mei 1969. Pada hari berkenaan aku bersekolah petang di APGS. Sekolah aku terletak di dalam kawasan majoritinya kaum Cina. Entah mengapa beberapa peristiwa pertumpahan darah bermula di kawasan Air Panas, Setapak. Petang tu kami bersekolah seperti biasa dan balik juga seperti biasa. Selepas loceng akhir kami pun keluar terus berlari (seperti biasa berebu-rebut) untuk menaiki bas dan aku dah tentu jadi hero naik bas sambil memanjat ikut pintu belakang kerana kalau ikut pintu depan dah berkerumun murid lain, kerana nakkan pemandangan tempat duduk belakang yang memanjang iaitu mengadap-ngadap. Bas pun mula berjalan dengan lajunya tapi kami masih tidak sedarkan keadaan serta suasana kerana sepanjang perjalanan balik di sekitar kawawan yang dilalui tidak nampak lagi huru hara.
Bas berjalan laju dan berhenti dengan begitu laju dan cepat, kami terhoyong-hayang di belakang walau pun duduk. Apabila sampai di Batu 5 Gombak berhadapan dengan kilang Lee Rubber (sekarang Medan Idaman) kelihatan sekumpulan pemuda Melayu berjalan sambil memegang buluh runcing, aku tertanya-tanya dan dalam kumpulan itu aku ternampak pulak boyfriend kakak dan sambil menjerit namanya, dia memandang, sambil menjerit balik-balik. Bas yang membawa kami tu seumpama lipas kudung menekan minyak menghantar kami ke destinasi begitu laju kerana pemandunya adalah berbangsa Cina. Dia dalam keadaan cemas serta takut, takut dikerjakan oleh kumpulan tadi tu. Selepas kami diturunkan, bas memecut laju menghala ke KL semula. Kami pun berjalan balik, sesampai saja aku di rumah kakak aku bertanya ada apa-apa insiden berlaku tak semasa perjalanan balik, aku jawab tak ada. Dia menjelaskan kepadaku bahawa beberapa peristiwa berdarah telah berlaku dan malam itu kami melihat berita di TV (masa tu hitam/putih) peristiwa yang tak diingini berlaku itu terjadi di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Chowkit di mana banyak kenderaan dibakar dan sebagainya dan itulah dinamakan rusuhan kaum. Kalau tak silap saya kami diperintahkan berkurung selama dua minggu lebih, bila waktu siang perintah berkurung dilonggarkan dari pukul 10.00 pagi hingga 6 petang kalau tak silap. Masa itulah kami keluar membeli barang makanan, dulu-dulu kedai runcit orang Melayu agak kurang yang ada kedai runcit mamak. Sehingga habis bekalan makanan mamak tu tak dapat menambah kerana tak boleh ke mana-mana dalam keadaan darurat. Kami pula sudah tidak ada sayur, maka semua pucuk ubi pun dipetik termasuklah pucuk ubi gajah.... pun jadi lauk harian.... begitulah ceritanya dapat juga rasa suasana seperti zaman pemerintahan Jepun tapi taklah sebrutal zaman itu.
Dalam tempoh dua minggu itu pula, anak jiranku yang bekerja sebagai guru telah tidak balik daripada mengajar mulai dari tarikh itu. Makcik Mun dan Pakcik Talib berendam air mata menunggu berita anak perempuan sulung pulak tu.. aku panggil anaknya Kak Julie. Sepanjang tempoh perintah berkurung itulah Makcik Mun berendam air mata sampai bengkak-bengkak, aku turut bersimpati kepadanya dan keluarga. Perintah berkurung tu fuhh... sangat memeritkan, itu baru dalam rumah sendiri belum dalam penjara tu... Hari berganti hari maka sampailah satu hari rusuhan sudah dapat dikawal dan Kuala Lumpur dalam keadaan berjaga-jaga. Kuala Lumpur dikawal oleh Angkatan Tentera Malaysia yang terdiri daripada pasukan Renjer juga Askar Melayu. Satu petang dalam suasana semua kejiranan berada di luar rumah kerana beberapa pasukan keselamatan (tentera) datang mengawal kawasan taman perumah kami, maka kembalilah insan yang di nanti-nanti oleh Makcik Mun dan Pakcik Talib, maka terjadilah satu adengan yang menyayat hati antara mereka sekeluarga. Pintu pagar besi dibuka oleh Pakcik Talib dengan tergigil-gigil untuk menyambut kepulangan anak sulung mereka juga Makcik Mun dan anak-anaknyu yang lain meluru ke pintu pagar besi, sejurus terbukanya pintu itu semua anak beranak berdakapan sambil menangis kerana kegembiran atas kepulangan Kak Julie. Anggota tentera yang menghantarnya pun kelihatan terharu akan drama sedih itu begitu juga kami yang berjiran hanya dapat melihat dari dalam kawasan rumah masing-masing dan terharu serta gembira juga apabila ahli keluarga mereka selamat kembali.
No comments:
Post a Comment