Pages, 2010, 2011, 2012

KAKAKKU YB

Inilah kisah sebenar yang terjadi dalam keluargaku.  Bermula pada tahun 1976 kakak sulongku (Long) menceburkan diri dalam arena politik, beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebajikan Masyarakat pada masa itu.  Selama dua tahun dia menjawat jawatan tersebut, dan pada tahun 1978 beliau diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang wakil rakyat wanita di dalam pilihanraya tersebut dan mewakili kawasan Permatang, Selangor.   Aku tak menyangka Long berminat menjadi wakil rakyat, katanya menyambung cita-cita ayah yang mana ayah adalah seorang Penghulu di kampungku.  Selama lebih dua minggu beliau menjalankan kempen di kawasan berkenaan semasa diambang pilihanraya.
      Memandangkan tempoh untuk berkempen terlalu singkat, kakakku dan suaminya turun padang setiap hari, kami di rumah, aku, tiga orang anak lelakinya, seorang pemandu dan seorang pembantu rumah yang tinggal.  Seperti biasa aku ke pejabat, anak-anak saudaraku ke sekolah dengan dihantar dan diambil oleh pemandunya dan pembantu rumah menyediakan juadah kami.  Setiap hari larut malam barulah mereka pulang ke rumah, dan apabila awal pagi semasa kami hendak keluar, beliau pun sama-sama keluar dengan tujuan masing-masing. 
       Maka hari mengundi pun tibalah, kami berada di rumah ketika itu cuti hujung minggi kalau tak silap, seminggu sebelum hari mengundi, kakakku dan suaminya telah menginap di kawasan pilihanraya berkenaan.  Maka tinggallah kami di rumah tanpa ada orang yang lebih tua untuk menjaga kami semua (maklumlah masa tu aku masih remaja begitu juga anak-anak saudaraku masih bersekolah).  Hari mengundi pun tiba, kami yang masih muda remaja ni belum boleh mengundi, maka duduklah di rumah menonton berita tentang pilihanraya dan sebagainya.  Aku dan pemandu, pembantu rumah dan anak-anak saudaraku mula merancang untuk membelikan kek kemenangan untuknya.  Setelah pergi membeli apa-apa yang perlu, kami pun menyiapkan hidangan yang sederhana untuk menyambut kepulangannya dengan kemenangan nanti.  Menjelang malam, apabila keputusan mengundi dimaklumkan sedikit demi sedikit, kami menunggu di depan tv untuk melihat keputusan pilihanraya kakakku sama ada menang atau kalah.  Kami pun menunggu dengan penuh debaran dan keseronokan kerana dah tentu Long menang, kek yang dihidang telah menjadi lembik, masukkan ke dalam peti sejuk, apabila kami mendengar deruan kereta, berlarilah anak-anaknya melihat sama ada emak dan abah dah balik, tetapi tak juga tiba, begitulah gelagat kami sehinggalah larut malam dan keletihan.  Aku pun menyuruh anak-anaknya masuk tidur dan aku teruskan menunggu hinggalah aku terlena di sofa hingga pagi.  Ketika bangun pun aku melihat ke luar rumah tapi tak juga sampai.  Akhirnya keputusan keseluruhan pilihanraya diketahui bahawa BN menang dengan cemerlang di semua kawasan yang di tandingi.  Keputusan kemenangan kakakku tak dapat dilihat kerana kami keletihan dan tertidur hingga pagi. 
         Kek yang diletak di atas meja dikeluarkan semula, dengan harapan pagi-pagi tentu Long akan balik, dia mesti nak balik untuk mandi dan sebagainya pada anggapanku.  Tetapi anggapanku meleset hingga ke petang masih tidak balik-balik lagi.  Tiba-tiba waktu hampir maghrib kakakku sampai di rumah dengan membawa kalungan bunga malai, ha.. dah tentulah menang.  Kami memberikan sambutan WELCOME HOME dengan kek yang telah dibeli semalam.  Rupa-rupanya tarikh kemenangan itu menghampiri tarikh lahir serta ulang tahun perkahwinannya.  Keseronokan kami semua seperti menyambut hari jadi anak-anak saudaraku kerana disertai dengan belon, topi dan wisel.  Begitulah ceritanya bagaimana 'suspen'nya kami menanti, menanti dengan debaran kepulanganya.

No comments:

Post a Comment