Pages, 2010, 2011, 2012

NOSTALGIA SEMASA SEKOLAH

Satu hari di awal tahun 2011, aku dihubungi oleh kawan sekolahku semasa aku di kampung alah sekolah rendah.... Nama kawanku itu Jamaliah binti Ismail, nama singkat (sekarang nama glamour - Mali).  Aku masih ingat lagi semasa di sekolah rendah, kebanyakan kawan sekelas berketurunan Jawa... tapi ntah mengapa aku tak pandai berbahasa Jawa pun hanya sebaris dua je.. memang mereka ni tak nak mengajar aku bahasa jawa, alasannya supaya senang dia orang nak mengata aku dalam bahasa Jawa kalau berkelahi. Memanglah anak-anak Jawa ni.... saja je, aku dah tahu kalau dia orang nak mengata aku dia akan berbahasa jawa. Fuhh.... geram jugak aku, tapi itulah pengalaman semasa di sekolah rendah.

      Dalam kelas aku tu ada seorang kawan berbangsa Sikh, aku masih ingat namanya Jiatun Kaur tapi nama glamournya Gudik.  Semasa kami sekolah, setiap kali waktu rehat, emak si Gudik ni datang bawakan anaknya bekalan, bekalannya sebungkus nasi lemak, sebotol susu lembu.  Ada satu masa, aku dok melangut depan dia sambil emaknya menyuapkan nasi, aku dok pandang je, tiba-tiba emaknya menyuapkan aku nasi lemak tu juga, maka aku pun buka mulutlah... lepas tu dia bagi Si Gudik minum susu lembu, kemudian dia bagi kat aku untuk minum sama.  Ambio.... kenyang aku dapat makan nasi lemak dan susu lembu masa rehat.  Selalunya aku balik rumah bila rehat, maklumlah rumah di hujung padang sekolah, hai rumah Tok Penghulu...  Bapaku berjawatan Penghulu.  Berbalik kepada cerita Gudik, pada keesokan harinya, waktu rehat, emak Si Gudik ni bawakan dua bungkus nasi lemak dan dua botol susu lembu.  Satu set untuk aku, satu set lagi untuk gudik.  Aku pun tak lepas peluang... makanle.  Tapi bila emak aku tahu, aku dimarah dan dia memaklumkan kepada emak Si Gudik, jangan bagi lagi aku bekalan sebab aku dah diberikan duit belanja untuk membeli makanan.  Emak Si Gudik, sangat baik hati dan lemah lembut orangnya, dia tetap nak memberi aku makan bersama anak dia.  Begitulah kenangan manis ketika itu aku di dalam darjah satu.  Hingga sekarang aku merasa teramat rindu dan ingin berjumpa dengan Gudik tapi tidak tahu dia di mana kerana dia telah berpindah dari kampungku.  Kami berpisah selepas darjah enam.  Mungkin Gudik sudah pun menjadi nenek seperti aku, kerana kami sebaya.

         Selain daripada Gudik, seorang lagi kawan yang agak muda daripada aku, Kenit anak kepada seorang guru yang mengajar di sekolah kami. Kenit adalah anak kepada Cikgu Sahlan, hingga sekarang aku tidak dapat mengesan di mana dia, sama ada Cikgu Sahlan masih tinggal di kampungnya iaitu Kampung Bukit Bangkong (kampung isterinya kalau tak silap).  Mereka-mereka ini adalah teman sepermainanku semasa aku bersekolah rendah.  Aku amat merindui mereka kerana lebih 50 tahun tidak berjumpa sehinggalah ke hari ini.  Adakah Kenit sudah menjadi nenek dan di manakah dia tinggal sekarang, inilah yang tak dapat dikesan kerana aku hilang punca maklumat ini.

     Dari itu aku masih ada kawan-kawan yang masih boleh ditemui, walaupun mereka sudah berumah tangga dan mempunyai cucu seperti Mali, Anisah, Siti Hajar, Zaiton, Poah (Marpua'ah), Kuak, Upek (yang telah kembali ke rahmatullah akibat penyakit kencing manis), Bakhtiar (takziah atas kembalinya ke rahmatulllah isteri tersayang), Mohd. Noor, Hamid Damsor, Husin Hassan dan lain-lain yang masih tinggal di kampung.   Aku masih teringat saat aku bertemu dengan allahyarham Upek pada majlis perkahwinan anak Kak Khairiah Haji Zubir, ketika aku sampai, si Upeklah yang menerkam dan memeluk aku seerat-eratnya seolah-olah tidak mahu melepaskan aku, rupanya itulah pelukan yang terakhir dari Upek (al-fatihah untukmu Upek yang disayang).  Upeklah yang paling rapat denganku kerana aku selalu bermain dan mandi sungai yang berdekatan dengan rumahnya. Aku ni anak Tok Penghulu, aku suka meronda-ronda kawasan kampung, pergi ke rumah kawan-kawan dengan berjalan kaki dan adakala waktu makan tengah hari aku makan di rumah mereka.  Maklumlah makan lauk kampung yang simple dan sedap.  Aku titipkan kenangan buat kamu kawan-kawanku yang amat aku ingati.  Semoga hubungan kita di kala usia menjelang senja ini lebih erat dan ikrab hendaknya.

No comments:

Post a Comment