Bagi setiap umat islam mengerjakan haji adalah satu pencapaian yang tidak terkata sekiranya mampu. semua orang mahu menunaikannya cuma masanya cepat atau lambat je... Pada satu hari aku dan adik beradik yang lain dipanggil oleh kakak sulungku yang kami pangil "Long" ke rumahnya. Selepas kami makan tengah hari, kami pun duduk berehat sambil berbual-bual. Dalam pada berbual-bual tu Long memaklumkan kepada kami bahawa beliau ingin membawa kami semua (adik-beradik je tidak termasuk ipar) untuk menunai umrah. Kami semua agak terperanjat juga dengan pengumuman beliau kerana belanja nak buat umrah pun kurang-kurang mesti ada RM5,000.00 seorang. Tapi kami tidak sempat bertanya beliau menerangkan bahawa beliau akan menanggung semua kos pergi-balik, penginapan, makan minum, perjalanan di sana. Aduh... kami terperanjat dan teruja juga akan pelawaan beliau.
Kami bertanya apakah tujuannya beliau menanggung pemergian kami, rupa-rupanya beliau telah berniat untuk membawa kami menziarah kubur ibunda yang tercinta yang telah kembali ke rahmatullah di Mekah pada tahun 1983. Kami semua amat terpegun dengan niat beliau itu, dengan sepontan kami semua pun bersetuju walaupun beliau akan menanggung semua kos tetapi ada beberapa perkara yang perlu kami sediakan juga untuk ke sana selain daripada menguruskan pasport sendiri.
Masa untuk mengerjakan umrah pun tiba, kami pun berangkat dengan dihantar oleh keluarga kami masing-masing, riuh rendah juga macam nak naik haji pulak.... Sampailah masa kami masuk ke dalam kapal terbang (bording). Kami menaiki penerbangan Arab Saudi (Saudi Air), kesemua penumpang adalah orang Melayu, pendeknya tidak ada penumpang berbangsa asing pun. Semuanya nak menunaikan umrah. Kami sahaja terdiri daripada 11 orang, Long, Abang Ngah, Abang Alang, Kak Uda, Anjang, Aku, Kiah, Adik, Abang Deraman (sepupuku), Nurul (anak Kiah), dan Elly (anak angkat Long - sekarang Datin Elly, fuhhlamak.... Datin... kau...). Kapal terbang mendarat di Madinah hampir waktu subuh, sampai di kaunter imegerisen lapangan terbang tu, sambil berbaris Elly di hadapanku, muhrim aku ialah Abang Alang, Elly entah aku tak tahu sebab muhrim disusun oleh Long dan tidak memaklumkan kepada kami pun. Bila tiba pasport Elly dicop maka pegawai imegerisen pun bertanya siapakah muhrim dia, Elly confuse lalu bertanya aku, Mak Usu siapa Abdul Rahman bin Hitam? Aku kata tak tahu... bila kami terpinga-pinga maka pegawai berkenaan pun berteriak kuat nama abang sepupuku. Dari jauh Abang Deraman menyahut sambil mengangkat tangan. Pegawai itu melihat sambil berdiri dan terus mengecop pasport Elly. He..he.. lepas sahaja Elly tanya "Mak Usu tak kan nama Pak Itam tak tahu", jawab aku, "Entah yang aku tahu aku selalu panggil Abang Deraman je," ( sebenarnya aku lupa nama sebenar dia) maka aku pun buat bodoh je....he..he..
Kemudian kami pun berkumpul di pintu luar dan wakil agensi yang menunggu pun mengarahkan kami supaya menaiki bas yang disediakan bersama-sama dengan beberapa orang yang sekapal dengan kami.
Kami menginap di Hotel Hilton di Madinah....Wah... cantiknya hotel ni kataku dalam hati, kembang kuncup hatiku dapat menginap di sini. Rupanya-rupanya dalam satu bilik hanya muat katil untuk 3 orang tetapi kami dimuatkan 4 orang. Akulah yang bongsu, maka aku terpaksa beralah dengan menggunakan katil extra bed. OKlah tu... bila aku cuba duduk di atas katil tu, katil itu terkatup dengan aku sekali di dalamnya. Mak oi... aku pun menjeritlah, Kak Uda dan Anjang cuba membuka katil dan dengan terkial-kial mereka berjaya menyelamatkan aku. Lepas tu aku diketawakan oleh mereka.... fuhh... bengang jugak dahlah aku mengalah, bila aku tersepit mereka ketawakan aku... uuuhhhh geram juga tapi gembira kerana dapat mengerjakan umrah bersama kekanda-kekandaku yang disayang walaupun usia mereka mencecah ke usia warga tua tetapi semangat tetap kental walaupun Abang Alang sakit gout masa tu. Abang Alang sakit gout, mutawif kami mencarikan kerusi roda dan menolaknya secara bergilir-gilir bagi mengerjakan tawaf, saei dan lain-lain rukun umrah.
Sepanjang mengerjakan umrah tidak banyak halangan dan rintangan, kami mematuhi segala peraturan dan mengerja solat-solat sunat di dalam masjid. Kami dapat bersembahyang di dalam kawasan Raudhah Al-Mutahharah iaitu merupakan tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi, selain menjadi tempat Rasullah S.A.W dan para sahabat beribadat dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah S.A.W. ia juga merupakan sebuah taman syurga iaitu makna perkataan Raudhah ialah taman). Kaum wanita dibenarkan memasuki ruang Raudhah pada hari Selasa dan Khamis selepas waktu Zohor hingga ke Asar. Aku dapat mengerjakan solat sunat sambil duduk kerana ruang yang padat. Selepas itu kami dipanggil untuk diberi penerangan tentang makam Nabi Muhammad S.A.W, makam Saidina Abu Bakar dan makam Saidina Umar Al-Khattab oleh beberapa orang polis wanita yang bertugas ke dalam masjid. Salah seorang jurucakap bercakap dalam bahasa Melayu sambil menerangkan kedudukan makam-makam yang ada. Pendek kata kalau kita gi situ tak payahlah berbelit lidah nak cakap bahasa Arab kalau lidah masih keras.
Saya amat berbangga kerana rakyat Malaysia sangat dihormati di Arab Saudi kerana pada masa PM kita Tun Mahathir, pihak kerajaan selalu menjalin hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Saudi Arabia. Dah tu pun kami naik Saudi Air... Peniaga-peniaga di sana selalu melaung-laungkan MALAYSIA BOLEH, MALAYSIA BOLEH, slogan yang dilaungkan semasa Tun Mahathir menjadi PM ( saya gi masa Pak Lah jadi PM). Mereka cuba menarik perhatian kita rakyat Malaysia dengan berbahasa Melayu "Siti Rahmah, Siti Rahmah... massukkk...massukkk... lihat... lihat... beli..beli..." itu jelah yang boleh disebut janji ada orang Malaysia yang masuk ke dalam kedai mereka. Fuhh... Pak anak-anak Arab.... pandai juga berbahasa Melayu sepatah dua kata.... maklumlah musim umrah rakyat Malaysia datang silih berganti.
Semasa mengerjakan umrah sangat seronok kerana dapat mengerjakan ibadat tanpa memikirkan soal lain, acara kita dirancang oleh agensi dengan teratur sekali... cuma selepas waktu zohor dan isyak adalah acara bebas. Kami diingatkan supaya keluar berkumpulan dan kalau menaiki teksi biarlah kaum lelaki masuk dahulu ke dalam teksi dan jika sampai ke destinasi kaum wanita hendaklah keluar dulu. Itulah salah satu implikasi keselamatan wanita yang akan dijaga oleh muhrimnya. Pergerakan di sana juga tidaklah menyulitkan tetapi seharusnya ada kaum lelaki yang ikut serta ketika keluar bersiar-siar atau membeli belah, dan kaum wanita diwajibkan memakai tudung labuh dan wanita-wanita Malaysia selalunya memakai telekung untuk keluar membeli belah.
Sampailah waktu kami akan bertolak ke Kota Makah di mana tempat yang dinanti-nantikan untuk melihat kecantikaan Kaabah iaitu paksi bumi. Dalam perjalanan apabila sampai waktu sembahyang maghrib, (sebelum itu kami mengerjakan jamak kerana perjalanan agak jauh), kami singgah di satu tempat perhentian di tengah-tengah padang pasir. Tempat persinggahan seperti R & R di Malaysia tetapi taklah sehebat di tanah air kita, cuma biasa-biasa je. Kami pun diberi masa untuk berehat dan sembahyang maghrib. Lepas sembahyang, kami pun ke kedai yang menjual makanan hanya satu je lah macam kantin tu... Tiba-tiba terpampang di dinding kedai Teh Tarik!!! Eh.. kat Arab pun ada teh tarik, ni tak boleh jadi ni mesti pekena sikit, kami pun membeli teh tarik dengan harga Rial 1.00 segelas. Sambil minum kami mendapat maklumat bahawa penjual teh tarik ialah Mat Bangla yang sudah bekerja di Malaysia selama 10 tahun!! Aduh-aduh Mat Bangla ni buat duit pulak kat Arab Saudi dengan menjual sambil memperkenalkan minuman kegemaran rakyat Malaysia... Apa lagi kami pun menjamu selera seadanyalah.
Sampai di Kota Makkah, kami menginap di Hotel Firdaus Umrah, sekarang dah tak de dah hotel tu... hotel ini berdekatan dengan bangunan Tabung Haji Malaysia. Maka kami pun memulakanlah mengerjakan umrah dengan dipandu oleh seorang mutawif. Oleh kerana kami-kami ni mengerjakan umrah buat pertama kali, maka Kak Long aku mengupah mutawif untuk memandu kami mengerjakan umrah sepanjang tempoh berada di sana. Ustaz dan isterinya sangat mengambil berat kebajikan kami semyua termasuklah menghantar abang, anak saudara dan juga Kak Long ke hospital untuk mendapatkan rawatan pelbagai (ada sakit mata, sakit gaout, sakit perutlah...). Dalam pada mengerjakan umrah itu, Kak Uda menyatakan hasratnya untuk mendapatkan buah kurma yang baru dipetik dari polok, tetapi kata ustaz belum musim lagi... Dia pun tidak berputus asa cuba juga mencari di kedai-kedai yang menjual buah kurma. Oleh kerana hajatnya itu dia pun berdoa ke hadrat ilahi akan maksud dan kehendaknya itu. Entah bagaimana, tiba-tiba pada suatu hari selepas waktu zohor, kami dihidangkan buah yang dihajati oleh kakakku... Kami semua sangat gembir dan bersyukur dengan rezeki yang seadanya, maka dia dengan gembiranya membahagi-bahagikan buah kurma yang segar untuk dinikmati bersama. Hatiku berdetik dan sayu kerana tuhan telah memakbulkan permintaannya walaupun hanya beberapa biji buah kurma untuk dinikmati ketika itu. Aku juga merasa kagum kerana dapat menikmati air zam-zam seperti minum air paip di Malaysia, sentiasa ada dan tidak putus-putus.
Pada hari yang ke tiga, Kak Long meminta supaya agensi yang membawa kami itu menunjukkan di manakah makam ibu yang hendak kami lawati. Ibu kami meninggal dunia pada tahun 1983 iaitu tahun kelahiran anak sulungku Maisara Anum. Kami dibawa menaiki satu van dan pergi menziarah makam yang diberi tanda tahun kembalinya ke rahmatullah ibu ku yang tersayang. Kawasan itu dipagar dan tidak boleh masuk, di tepi jalan ditulis tahun 1970-1990. Maka ditepi jalan itulah kami bertahlil dengan dipandu oleh mutawif yang bersama kami. Apabila selesai, kami pun terus mengerjakan umrah beramai-ramai.
Waktu malam, aku, Kak Uda, Anjang, Bang Deraman, Bang Ngah dibawa oleh mutawif untuk mengerjakan umrah di waktu malam sepas maghrib kami pun memulakannya.
Sebenarnya sewaktu memulakan perjalanan kami dari Kuala Lumpur, aku tersentuh dengan dua keluarga. Satu keluarga membawa anak yang cacat (akal dan fizikal) dengan menolaknya menggunakan kereta sorong, satu keluarga lagi anak lelaki membawa ibunya yang uzur di mana tiada ahli keluarga perempuan yang ikut bersama bagi menjaga ibunya. Tetapi walau bagaimanapun masih ada insan yang turut membantu ibu berkenaan untuk membersihkan diri di dalam kapal terbang. Aku amat tersentuh dengan peristiwa itu, tetapi di Madinah dan Makkah kami tidak terjumpa mereka, mungkin mereka menginap di tempat lain, begitulah..... Berbalik kepada kisah kami sekeluarga pula, pada hari kelima selepas kami mengerjakan umrah di awal pagi, Kak Long ingin membawa kami melawat bandar Jeddah. Agak jauh juga dan kami harus melepasi pintu imigresen, aku membawa sebotol air zam-zam sebagai bekalan sekiranya haus. Keluar sahaja daripada tanah haram, air bekalanku menjadi tak sedap.... Ya Allah betapa agungnya kau, betapa besarnya nikmat yang kau tunjukkan.... Amin.
Pada hari terakhir di Makkah, kami mengerjakan tawaf wida, iaitu tawaf selamat tinggal, hatiku tiba-tiba menjadi sebak dan menangis kerana begitu sedih untuk meninggalkan Kota Makkah. Selepas mengerjakan tawaf, kami yang telahpun bersiap-siap terus dibawa menaiki bas untuk ke Lapangan Terbang Jeddah untuk balik ke Malaysia. Sampai di lapangan terbang, aku bertemu sekali lagi dengan dua keluarga yang aku ceritakan, mereka sungguh gembira dan aku juga gembira melihat mereka dan kami pun bertegur sapa dan berbual-bual sehinggalah menaiki kapal terbang. Sesampai di KLIA, kami pun berpisah membawa haluan masing-masing dengan keluarga yang menanti kepulangan kami. Amboi... ramainya... macam balik haji pulak!!.... Aku, Kak Uda, Bang Deraman, Elly pun terus ke rumah Kak Long, Anjang, Abang Alang, Abang Ngah terus balik ke rumah mereka kerana mereka tinggal di Salak Tinggi alah kat KLIA jugak..... Itulah pengalamanku mengerjakan umrah bersama adik beradikku. Kenangan manis ini dirancang oleh Kak Long kerana niatnya untuk membawa kami menziarah kubur ibu yang amat kami rindui...... hingga ke saat ini.... Terima kasih Long, aku juga mendoakan kesihatan Kak Long aku di hadapan Kaabah supaya dipanjangkan usia, sihatkan tubuh badan, dan dimurahkan rezeki supaya dapat menyumbang untuk insan-insan yang memerlukan bantuannya. Terlalu banyak jasa dan budi yang Kak Long aku taburkan untuk masyarakat dan juga keluarga kami. Long... kaulah ibu dan kaulah bapa bagi kami.
No comments:
Post a Comment