Pages, 2010, 2011, 2012

KELAS AEROBIK DAN POCO-POCO

Ada satu pagi, rakanku Rohani memaklumkan kepadaku bahawa beliau selalu ke Tasik Titiwangsa untuk senaman pagi, oleh itu beliau telah mendapatkan nombor telefon tenaga pengajar senaman berkenaan.  Katanya mereka akan mengadakan satu bengkel senamrobik di Pusat Sukan, Kampung Pandan, KL.  Setelah dimaklumkan aku pun menghubungi sesiapa ahli Puspanita yang ingin menyertai bengkel ini.  Seramai 5 orang telah mendaftar, maka aku pun membuat surat memohon kelulusan Naib Ketua II Puspanita dan diluluskan.

        Pada hari yang dijadualkan, kami pun pergilah.... Lebih kurang 20 orang telah mendaftar untuk mengikuti program ini.  Fuhh!! Semangatlah... tapi awal pagi aku selaku pengurus biro sukan telah dimaklumkan oleh 2 orang rakan yang tidak dapat hadir.  Jadi, tak pe lah masih ada 3 orang lagi.  Oleh itu bengkel pun dimulakan... nampaknya bengkel itu tidak ada bengkel, tetapi terus kepada praktikalnya.  Daripada pukul 9.00 pagi hingga ke 5.30 petang, kami diajar oleh tenaga pengajar yang rata-rata orang muda belia...  Tapi nak ketawa pulak, pelajarnya terdiri daripada mereka yang dah senja dan ada juga pelajar yang muda-muda lelaki dan perempuan sama-sama mengikutinya.

        Aku dan rakanku mengikutinya dengan tekun tanpa ada rasa penat dan sebagainya.  Amali yang diberikan terlalulah padat dan lagu-lagu yang berpatutan tetapi ternyata ada kerancakannya.  Hai... biasalah bagi aku dan rakanku tak boleh dengar lagu terus nak menari, kaki tak boleh diam.  Sebanyak 15 langkah yang telah diajar. Semasa waktu rehat, kami berehat dan makan tengah hari juga disediakan untuk peserta.  Lepas sembahyang zohor aku mula rasa kakiku sakit dan tegang.  Aku diketawakan oleh Rohani... geram jugak rasanya tapi terus juga berjalan perlahan-lahan.. Ha... inilah padahnya tak buat exercise yang ringan-ringan sebelum masuk kelas.  Apabila sampai di tempat belajar, aku terdengar lagu yang rancak.... Fuh... tak duduk lagi terus masuk dan melangkah dengan seronoknya dan terlupa bahawa kaki tu sakit... Ai.. macam tak ingat dunia pulak...kah..kah..kah.....

BESDAYKU

Hari ini 13 Julai 2011 seperti biasa aku bangun pagi bersiap-siap untuk ke pejabat.  Entah mengapa suamiku menyediakan bekalan kuah kurma untuk dibawa ke pejabat.  Aku suka juga sebab bila dia masak masakannya sedap, aku sendiri masak pun tak sesedap masakan dia, sebab ahli-ahli keluarga suamiku hinggalah ke sepupu sepapatnya semuanya pakar memasak.  Tidak hairanlah anak lelakiku pun berminat untuk menjadi Chef dan dia sedang belajar di PTPL Shah Alam bidang Kulinari Arts.

Berbalik kepada kisah tadi, setelah memasukkan bekal ke dalam beg, aku pun terus ke pejabat dengan dihantar oleh suamiku.  Sampai je aku di pejabat, Fairus atau Pai (panggilan manja di bahagian) terus mengucapkan Selamat Hari Lahir). Berkali-kali dia mengucapkannya dan aku sangat teruja dan rakan-rakan yang lain pun terkejut kerana tiba-tiba Pai memberikan ucapan itu.  Oklah...

Pagi tu Bahagian kami ada bengkel di Makmal Bahasa, bila pukul 10.00 pagi, Norhafizah menelefon minta kami turun minum bersama... Aku dan Ayu pun turun kerana tinggal kami berdua je.  Semasa aku masuk ke bilik Makmal, sekali lagi ucapan Selamat Hari Jadi oleh si Pai.... Maka semuanya mengucapkan selamat hari lahir kepadaku dan bos aku pun sama mengucapkan sambil Linda dan lain-lain menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi, teruja lagi...Fuh... seganlah pulak maklumlah dan senja-senja seperti anak-anak kecil pulak menerima ucapan demi ucapan.

Tengah hari seperti biasa aku pun makan bekalan yang dibekalkan oleh suamiku bersama rakan di Bahagian Penyelidikan Bahasa sambil berbual-bual.  Pukul 3 aku dikejutkan lagi oleh Bos kerana beliau pergi membelikan dua biji kek harilahir untukku.  Alah... malu pulak rasanya dan aku terkejut juga.  Sejak aku bertugas di Bahagian Peristilahan dan Leksikologi ni, dua kali aku terkejut.... mula-mula dulu dengan Puan Ratna... sekarang dengan Dr. Fadilah pulak.... aduh... segan pulak rasanya.  Setelah doa dibacakan oleh anakanda Ustaz Azman, aku pun memotong kek dan mengedarkan kepada semua staf yang ada yang sama-sama meraikan hari lahir ku.
TERIMA KASIH DAUN KELADI DR. FADILAH (teruamanya kerana membelikan kek).  Terima kasih juga dengan rakan-rakan di Bahagian kerana meraikannya bersama.

PENGERUSI SUKAN

Fuhh... pada 13=21 Jun 2011 aku sebagai Pengerusi Biro Sukan Puspanita di tempat kerjaku mula menganjurkan Kejohanan Sukan Dalaman Antara Jabatan bagi tahun 2011.  Aduh... rasanya macam nak demam bila kena pikul tugas ini.  Masa muda-muda dulu memanglah aku aktiviti dalam sukan, bola jaring, badminton, ping ping dan juga kebudayaan apa lagi tarianlah... Aku memang suka bergaya tapi taklah melebihi batas.  Dalam urusan sukan ini aku berbangga mempunyai rakan-rakan yang mahir dalam bidang masing-masing.  Aku sebagai Pengerusi melantik mereka yang pakar dan menyerahkan serta memberi kepercayaan kepada mereka untuk mengelolakan sukan Karom, Dart, Congkak, Batu Seremban,. Dam Ular (he..he.. macam budak kecil pulak main dam ular).  Itulah sukan yang diminati oleh ahli puspanita yang tidak suka sukan padang.


       Minggu ini barulah aku dapat mengumpulkan semua AJK, Penyelaras untuk memulakan program ini dan aku berterima kasih juga pada Setiausaha kami Che Chah, Bendahari, Ani yang mempunyai banyak pengalaman dalam menguruskan acara-acara seperti ini.  Di samping itu aku juga memohon bantuan daripada AJK Sukan Badan Keluarga untuk sama-sama menyelaraskan acara ini.  Aku sangat bangga dengan rakan-rakan yang memberi kerjasama yang tidak jemu-jemu.  Hai ... aku ni dah senja baru nak belajar menguruskan acara seperti ini, tapi tak apa aku rasa seronok pula kerana sokongan rakan-rakan yang berpengalaman.  Keputusan telah dipamerkan di papan kenyataan, selama dua tiga hari je... tiba-tiba aku tak nampak lagi keputusan tu dipamerkan adaknya Bhg. Ptd. Am dah turunkan, tapi tak apalah penyampaian hadiah akan dibuat sempena sambutan Majlis Anugerah Siti Khadijah yang akan diadakan penghujung bulan Julai 2011 nanti.  Oleh itu kepada pemenang-pemenang....... tunggu!!!!......


        Selepas acara sukan ni aku dah rancang nak buat pertandingan memancing pulak... Baru cerita-cerita dah ramai yang nak ikut serta.... Ha... tak sangka pulak ada sambutan.  Tapi walau bagaimanapun acara ini harus diluluskan dulu oleh Naib Ketua Puspanita kami kerana bila lulus je... ha... ongkosnya bolehlah digunakan untuk menjalankan pertandingan ini

KELAS MEMBUAT PERHIASAN WANITA

Pada 18-19 dan 25 Jun aku telah mendaftar dalam Kelas Membuat Perhiasan Wanita oleh Kolej Komuniti Selayang dalam skim Pembelaran Sepanjang Hayat.  Aku join kelas ni sebab memang berminat dengan aksoseri wanita.  Dek kerna harga aksoseri ini sangat mahal, maka aku mendapat peluang untuk mempelajari bagaimana nak membuatnya di Kolej Komuniti Selayang.  

Masa nak mula belajar tu, fuhhh... tak boleh tidur dibuatnya maklumlah nak belajar buat gelang, rantai, anting-anting, kerosang dan lain-lain lagi sekiranya kita kreatif.  Selagi tak sampai tarikh yang ditetapkan aku dok sengih sepanjang masa, oii bukan main minatnya.  Sebelum ni aku dah belajar bagaimana nak buat blog, cupcakes, kursus kesempurnaan solat dan yang ini adalah ke empat dan seterusnya...  Aku maklumkan pada rakan-rakan Mohaini, Alijah nak belajar buat Fondant Icing tak... Mohaini sangat teruja untuk belajar, dia mengajak aku turut serta tetapi aku dah mendaftar di kelas membuat aksesori wanita.  Aku cadangkan dia pergi dengan Alijah kerana Alijah sangat-sangat berminat dengan fondant ising ni.

Hari yang dinanti-nanti dah tiba, aku dihantar oleh suami hingga depan tangga.  Aku mendaftar dan terus masuk kelas.  Masuk je kelas kat atas meja ada bahan-bahan untuk membuat perhiasan.  Amboi hati tu rasa tak sabar-sabar nak belajar.  Maka sampailah masanya cikgu pun masuk, cikgu pun memperkenalkan dirinya, dan selepas sesi berkenalan dengan cikgu kami pun memulakan kelas dengan membuat anting-anting yang simple, pas tu buat gelang, dan kami belajar dengan sabar dan tekun.  Aku tersangatlah minat dengan kerja-kerja sebegitu maka aku tumpukan perhatian sepenuhnya walaupun kadangkala mata tak nampak nak mencocok lubang manik kristal.  Agaknya dek kerana terkial-kial nak memasukkan manik-manik, member sebelah dengan rela nak bantu tapi aku kata tak apa masih boleh membuatnya walaupun terkial-kial.  Bukan apa... nak rasa bagaimana susah atau senangnya membuat barang-barang perhiasan.

Peralatan yang kami gunakan seperti 'flyer', 'flyer long nose' dan 'cutter'.  Setiap peralatan ada kala digunakan serentak dan ada kalanya tidak.  Kami dipamerkan dengan hasil kerja tangan yang cikgu bawa untuk dijadikan contoh dan membuatkan kami terbeliak bijik mata melihat barang-barang perhiasan yang mengelip-gelip tu.

Di hari akhir, kami akan diajar bagaimana nak membuat gelang jam.  Melihat contoh yang dipamerkan oleh cikgu teruja juga nak mencuba membuatnya rasa tak sabar-sabar lagi.  Tetapi hari terakhir aku tak dapat hadir kerana ada urusan lain yang lebih mustahak.  Cikgu berjanji akan mengajar aku di hari lain tetapi masih tertangguh kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri dan kerja.  Dalam masa belajar tu ramai juga dapat rakan-rakan baru 'face book' maka kami pun berhubung antara satu sama lain walaupun tidak berjumpa lagi, mungkin di lain sesi akan bertemu semula maklumlah bermacam-macam yang nak aku belajar, minatlah katakan.








SIBUKSIBUK BUKAN MENYIBUK

Hari ini 27.5201 - waktu rehat tengah hari ada satu daripada Bahagian di Jabatan aku bekerja,   mengadakan Table Top Sale apa tu Jualan Atas Meja.  Banyaklah rakan-rakan yang membawa pakaian yang masih boleh dipakai walaupun bertaraf second hand tetapi masih kelihatan baru, majalah, buku-buku, aksesories wanita, makanan, minuman, pokok bunga segar, alat mekap, bag, dompet, kasut, kain ela, dan macam-macam lagi. Mereka membuat jualan kerana untuk mengumpul dana Badan Kebajikan Bahagian mereka.  Seronok juga bila melihat mereka terlalu sibuk dengan urusan itu, pokoknya kesibukan ditumpukan kepada program mereka itu.

      Aku pun turut serta dalam acara mereka dengan meletakkan sedikit kuih apam.... Apam Polkadot ala sekarang makin popular kat KL ni... Cara buatnya bukanlah susah sangat cuma orang-orang sekarang suka membeli daripada membuat.  Selain kuih apam... aku juga meletakkan beberapa helai tudung yang popular dalam pasaran sekarang.....  Dari segi membuat business, orang pompuan dulu, kini dan sekarang sangat aktif dan berdaya saing, bermacam-macam corak perniagaan yang diceburi, tidak kiralah sama ada perniagaan yang diterokai oleh orang lelaki, mereka pun sama-sama hendak mencuba.... Boleh dikatakan orang pompuan sangat-sangat komited dengan apa saja bidang yang diceburi.  Syabas diucapkan... Eh! Sorrylah orang lelaki.... bukan nak jek orang pompuan lebih-lebih tapi dek kerana gembira dihati dan bangga dengan kegigihan mereka... tetapi ingat ye kawan-kawan, keja tetap dilaksanakan dengan cemerlang.  Aku melihat kerancakan meereka membuat jualan menggalakkan juga badan kebajikan di Bahagian-bahagian lain berbuat perkara yang sama.

      Dalam pada mereka membuat Table Top Sale, Badan Keluarga (badan kebajikan di Jabatan aku) terasa agak tercabar pulak, tak pelah nanti kita boleh sama-sama menjalankan aktiviti ini dengan lebih besar lagi seperti program Jabatan kita pada tahun 2009 melaksanakan Derma untuk Gaza sehari suntuk.  Tak banyak yang nak dikongsi di sini, tapi sekadar mengingati

NOSTALGIA SEMASA SEKOLAH

Satu hari di awal tahun 2011, aku dihubungi oleh kawan sekolahku semasa aku di kampung alah sekolah rendah.... Nama kawanku itu Jamaliah binti Ismail, nama singkat (sekarang nama glamour - Mali).  Aku masih ingat lagi semasa di sekolah rendah, kebanyakan kawan sekelas berketurunan Jawa... tapi ntah mengapa aku tak pandai berbahasa Jawa pun hanya sebaris dua je.. memang mereka ni tak nak mengajar aku bahasa jawa, alasannya supaya senang dia orang nak mengata aku dalam bahasa Jawa kalau berkelahi. Memanglah anak-anak Jawa ni.... saja je, aku dah tahu kalau dia orang nak mengata aku dia akan berbahasa jawa. Fuhh.... geram jugak aku, tapi itulah pengalaman semasa di sekolah rendah.

      Dalam kelas aku tu ada seorang kawan berbangsa Sikh, aku masih ingat namanya Jiatun Kaur tapi nama glamournya Gudik.  Semasa kami sekolah, setiap kali waktu rehat, emak si Gudik ni datang bawakan anaknya bekalan, bekalannya sebungkus nasi lemak, sebotol susu lembu.  Ada satu masa, aku dok melangut depan dia sambil emaknya menyuapkan nasi, aku dok pandang je, tiba-tiba emaknya menyuapkan aku nasi lemak tu juga, maka aku pun buka mulutlah... lepas tu dia bagi Si Gudik minum susu lembu, kemudian dia bagi kat aku untuk minum sama.  Ambio.... kenyang aku dapat makan nasi lemak dan susu lembu masa rehat.  Selalunya aku balik rumah bila rehat, maklumlah rumah di hujung padang sekolah, hai rumah Tok Penghulu...  Bapaku berjawatan Penghulu.  Berbalik kepada cerita Gudik, pada keesokan harinya, waktu rehat, emak Si Gudik ni bawakan dua bungkus nasi lemak dan dua botol susu lembu.  Satu set untuk aku, satu set lagi untuk gudik.  Aku pun tak lepas peluang... makanle.  Tapi bila emak aku tahu, aku dimarah dan dia memaklumkan kepada emak Si Gudik, jangan bagi lagi aku bekalan sebab aku dah diberikan duit belanja untuk membeli makanan.  Emak Si Gudik, sangat baik hati dan lemah lembut orangnya, dia tetap nak memberi aku makan bersama anak dia.  Begitulah kenangan manis ketika itu aku di dalam darjah satu.  Hingga sekarang aku merasa teramat rindu dan ingin berjumpa dengan Gudik tapi tidak tahu dia di mana kerana dia telah berpindah dari kampungku.  Kami berpisah selepas darjah enam.  Mungkin Gudik sudah pun menjadi nenek seperti aku, kerana kami sebaya.

         Selain daripada Gudik, seorang lagi kawan yang agak muda daripada aku, Kenit anak kepada seorang guru yang mengajar di sekolah kami. Kenit adalah anak kepada Cikgu Sahlan, hingga sekarang aku tidak dapat mengesan di mana dia, sama ada Cikgu Sahlan masih tinggal di kampungnya iaitu Kampung Bukit Bangkong (kampung isterinya kalau tak silap).  Mereka-mereka ini adalah teman sepermainanku semasa aku bersekolah rendah.  Aku amat merindui mereka kerana lebih 50 tahun tidak berjumpa sehinggalah ke hari ini.  Adakah Kenit sudah menjadi nenek dan di manakah dia tinggal sekarang, inilah yang tak dapat dikesan kerana aku hilang punca maklumat ini.

     Dari itu aku masih ada kawan-kawan yang masih boleh ditemui, walaupun mereka sudah berumah tangga dan mempunyai cucu seperti Mali, Anisah, Siti Hajar, Zaiton, Poah (Marpua'ah), Kuak, Upek (yang telah kembali ke rahmatullah akibat penyakit kencing manis), Bakhtiar (takziah atas kembalinya ke rahmatulllah isteri tersayang), Mohd. Noor, Hamid Damsor, Husin Hassan dan lain-lain yang masih tinggal di kampung.   Aku masih teringat saat aku bertemu dengan allahyarham Upek pada majlis perkahwinan anak Kak Khairiah Haji Zubir, ketika aku sampai, si Upeklah yang menerkam dan memeluk aku seerat-eratnya seolah-olah tidak mahu melepaskan aku, rupanya itulah pelukan yang terakhir dari Upek (al-fatihah untukmu Upek yang disayang).  Upeklah yang paling rapat denganku kerana aku selalu bermain dan mandi sungai yang berdekatan dengan rumahnya. Aku ni anak Tok Penghulu, aku suka meronda-ronda kawasan kampung, pergi ke rumah kawan-kawan dengan berjalan kaki dan adakala waktu makan tengah hari aku makan di rumah mereka.  Maklumlah makan lauk kampung yang simple dan sedap.  Aku titipkan kenangan buat kamu kawan-kawanku yang amat aku ingati.  Semoga hubungan kita di kala usia menjelang senja ini lebih erat dan ikrab hendaknya.

UMRAH OH UMRAH....

Bagi setiap umat islam mengerjakan haji adalah satu pencapaian yang tidak terkata sekiranya mampu.  semua orang mahu menunaikannya cuma masanya cepat atau lambat je...  Pada satu hari aku dan adik beradik yang lain dipanggil oleh kakak sulungku yang kami pangil "Long" ke rumahnya.  Selepas kami makan tengah hari, kami pun duduk berehat sambil berbual-bual.  Dalam pada berbual-bual tu Long memaklumkan kepada kami bahawa beliau ingin membawa kami semua (adik-beradik je tidak termasuk ipar) untuk menunai umrah.  Kami semua agak terperanjat juga dengan pengumuman beliau kerana belanja nak buat umrah pun kurang-kurang mesti ada RM5,000.00 seorang.  Tapi kami tidak sempat bertanya beliau menerangkan bahawa beliau akan menanggung semua kos pergi-balik, penginapan, makan minum, perjalanan di sana.  Aduh... kami terperanjat dan teruja juga akan pelawaan beliau.

      Kami bertanya apakah tujuannya beliau menanggung pemergian kami, rupa-rupanya beliau telah berniat untuk membawa kami menziarah kubur ibunda yang tercinta yang telah kembali ke rahmatullah di Mekah pada tahun 1983.  Kami semua amat terpegun dengan niat beliau itu, dengan sepontan kami semua pun bersetuju walaupun beliau akan menanggung semua kos tetapi ada beberapa perkara yang perlu kami sediakan juga untuk ke sana selain daripada menguruskan pasport sendiri.

      Masa untuk mengerjakan umrah pun tiba, kami pun berangkat dengan dihantar oleh keluarga kami masing-masing, riuh rendah juga macam nak naik haji pulak....  Sampailah masa kami masuk ke dalam kapal terbang (bording).  Kami menaiki penerbangan Arab Saudi (Saudi Air), kesemua penumpang adalah orang Melayu, pendeknya tidak ada penumpang berbangsa asing pun.  Semuanya nak menunaikan umrah.  Kami sahaja terdiri daripada 11 orang, Long, Abang Ngah, Abang Alang, Kak Uda, Anjang, Aku, Kiah, Adik, Abang Deraman (sepupuku), Nurul (anak Kiah), dan Elly (anak angkat Long - sekarang Datin Elly, fuhhlamak.... Datin... kau...).  Kapal terbang mendarat di Madinah hampir waktu subuh, sampai di kaunter imegerisen lapangan terbang tu, sambil berbaris Elly di hadapanku, muhrim aku ialah Abang Alang, Elly entah aku tak tahu sebab muhrim disusun oleh Long dan tidak memaklumkan kepada kami pun.  Bila tiba pasport Elly dicop maka pegawai imegerisen pun bertanya siapakah muhrim dia, Elly confuse lalu bertanya aku, Mak Usu siapa Abdul Rahman bin Hitam? Aku kata tak tahu... bila kami terpinga-pinga maka pegawai berkenaan pun berteriak kuat nama abang sepupuku.  Dari jauh Abang Deraman menyahut sambil mengangkat tangan.  Pegawai itu melihat sambil berdiri dan terus mengecop pasport Elly.  He..he.. lepas sahaja Elly tanya "Mak Usu tak kan nama Pak Itam tak tahu", jawab aku,  "Entah yang aku tahu aku selalu panggil Abang Deraman je," ( sebenarnya aku lupa nama sebenar dia) maka aku pun buat bodoh je....he..he..
Kemudian kami pun berkumpul di pintu luar dan wakil agensi yang menunggu pun mengarahkan kami supaya menaiki bas yang disediakan bersama-sama dengan beberapa orang yang sekapal dengan kami.
        Kami menginap di Hotel Hilton di Madinah....Wah... cantiknya hotel ni kataku dalam hati, kembang kuncup hatiku dapat menginap di sini.  Rupanya-rupanya dalam satu bilik hanya muat katil untuk 3 orang tetapi kami dimuatkan 4 orang.  Akulah yang bongsu, maka aku terpaksa beralah dengan menggunakan katil extra bed.  OKlah tu... bila aku cuba duduk di atas katil tu, katil itu terkatup dengan aku sekali di dalamnya. Mak oi... aku pun menjeritlah, Kak Uda dan Anjang cuba membuka katil dan dengan terkial-kial mereka berjaya menyelamatkan aku.  Lepas tu aku diketawakan oleh mereka.... fuhh... bengang jugak dahlah aku mengalah, bila aku tersepit mereka ketawakan aku... uuuhhhh geram juga tapi gembira kerana dapat mengerjakan umrah bersama kekanda-kekandaku yang disayang walaupun usia mereka mencecah ke usia warga tua tetapi semangat tetap kental walaupun Abang Alang sakit gout masa tu.  Abang Alang sakit gout, mutawif kami mencarikan kerusi roda dan menolaknya secara bergilir-gilir bagi mengerjakan tawaf, saei dan lain-lain rukun umrah.

Sepanjang mengerjakan umrah tidak banyak halangan dan rintangan, kami mematuhi segala peraturan dan mengerja solat-solat sunat di dalam masjid.  Kami dapat bersembahyang di dalam kawasan Raudhah Al-Mutahharah  iaitu merupakan tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi, selain menjadi tempat Rasullah S.A.W dan para sahabat beribadat dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah S.A.W. ia juga merupakan sebuah taman syurga iaitu makna perkataan Raudhah ialah taman).  Kaum wanita dibenarkan memasuki ruang Raudhah pada hari Selasa dan Khamis selepas waktu Zohor hingga ke Asar.  Aku dapat mengerjakan solat sunat sambil duduk kerana ruang yang padat.  Selepas itu kami dipanggil untuk diberi penerangan tentang makam Nabi Muhammad S.A.W, makam Saidina Abu Bakar dan makam Saidina Umar Al-Khattab oleh beberapa orang polis wanita yang bertugas ke dalam masjid. Salah seorang jurucakap bercakap dalam bahasa Melayu sambil menerangkan kedudukan makam-makam yang ada.  Pendek kata kalau kita gi situ tak payahlah berbelit lidah nak cakap bahasa Arab kalau lidah masih keras.

       Saya amat berbangga kerana rakyat Malaysia sangat dihormati di Arab Saudi kerana pada masa PM kita Tun Mahathir, pihak kerajaan selalu menjalin hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Saudi Arabia.  Dah tu pun kami naik Saudi Air...  Peniaga-peniaga di sana selalu melaung-laungkan MALAYSIA BOLEH, MALAYSIA BOLEH, slogan yang dilaungkan semasa Tun Mahathir menjadi PM ( saya gi masa Pak Lah jadi PM).  Mereka cuba menarik perhatian kita rakyat Malaysia dengan berbahasa Melayu "Siti Rahmah, Siti Rahmah... massukkk...massukkk... lihat... lihat... beli..beli..." itu jelah yang boleh disebut janji ada orang Malaysia yang masuk ke dalam kedai mereka.  Fuhh... Pak anak-anak Arab.... pandai juga berbahasa Melayu sepatah dua kata.... maklumlah musim umrah rakyat Malaysia datang silih berganti.

     Semasa mengerjakan umrah sangat seronok kerana dapat mengerjakan ibadat tanpa memikirkan soal lain, acara kita dirancang oleh agensi dengan teratur sekali... cuma selepas waktu zohor dan isyak adalah acara bebas.  Kami diingatkan supaya keluar berkumpulan dan kalau menaiki teksi biarlah kaum lelaki masuk dahulu ke dalam teksi dan jika sampai ke destinasi kaum wanita hendaklah keluar dulu.  Itulah salah satu implikasi keselamatan wanita yang akan dijaga oleh muhrimnya.  Pergerakan di sana juga tidaklah menyulitkan tetapi seharusnya ada kaum lelaki yang ikut serta ketika keluar bersiar-siar atau membeli belah, dan kaum wanita diwajibkan memakai tudung labuh dan wanita-wanita Malaysia selalunya memakai telekung untuk keluar membeli belah.

Sampailah waktu kami akan bertolak ke Kota Makah di mana tempat yang dinanti-nantikan untuk melihat kecantikaan Kaabah iaitu paksi bumi.  Dalam perjalanan apabila sampai waktu sembahyang maghrib, (sebelum itu kami mengerjakan jamak kerana perjalanan agak jauh), kami singgah di satu tempat perhentian di tengah-tengah padang pasir.  Tempat persinggahan seperti R & R di Malaysia tetapi taklah sehebat di tanah air kita, cuma biasa-biasa je.  Kami pun diberi masa untuk berehat dan sembahyang maghrib.  Lepas sembahyang, kami pun ke kedai yang menjual makanan hanya satu je lah macam kantin tu... Tiba-tiba terpampang di dinding kedai Teh Tarik!!! Eh.. kat Arab pun ada teh tarik, ni tak boleh jadi ni mesti pekena sikit, kami pun membeli teh tarik dengan harga Rial 1.00 segelas.  Sambil minum kami mendapat maklumat bahawa penjual teh tarik ialah Mat Bangla yang sudah bekerja di Malaysia selama 10 tahun!!  Aduh-aduh Mat Bangla ni buat duit pulak kat Arab Saudi dengan menjual sambil memperkenalkan minuman kegemaran rakyat Malaysia... Apa lagi kami pun menjamu selera seadanyalah.

        Sampai di Kota Makkah, kami menginap di Hotel Firdaus Umrah, sekarang dah tak de dah hotel tu... hotel ini berdekatan dengan bangunan Tabung Haji Malaysia.  Maka kami pun memulakanlah mengerjakan umrah dengan dipandu oleh seorang mutawif.  Oleh kerana kami-kami ni mengerjakan umrah buat pertama kali, maka Kak Long aku mengupah mutawif untuk memandu kami mengerjakan umrah sepanjang tempoh berada di sana.  Ustaz dan isterinya sangat mengambil berat kebajikan kami semyua termasuklah menghantar abang, anak saudara dan juga Kak Long ke hospital untuk mendapatkan rawatan pelbagai (ada sakit mata, sakit gaout, sakit perutlah...).  Dalam pada mengerjakan umrah itu, Kak Uda menyatakan hasratnya untuk mendapatkan buah kurma yang baru dipetik dari polok, tetapi kata ustaz belum musim lagi... Dia pun tidak berputus asa cuba juga mencari di kedai-kedai yang menjual buah kurma.  Oleh kerana hajatnya itu dia pun berdoa ke hadrat ilahi akan maksud dan kehendaknya itu.  Entah bagaimana, tiba-tiba pada suatu hari selepas waktu zohor, kami dihidangkan buah yang dihajati oleh kakakku... Kami semua sangat gembir dan bersyukur dengan rezeki yang seadanya, maka dia dengan gembiranya membahagi-bahagikan buah kurma yang segar untuk dinikmati bersama.  Hatiku berdetik dan sayu kerana tuhan telah memakbulkan permintaannya walaupun hanya beberapa biji buah kurma untuk dinikmati ketika itu.  Aku juga merasa kagum kerana dapat menikmati air zam-zam seperti minum air paip di Malaysia, sentiasa ada dan tidak putus-putus.

      Pada hari yang ke tiga, Kak Long meminta supaya agensi yang membawa kami itu menunjukkan di manakah makam ibu yang hendak kami lawati.  Ibu kami meninggal dunia pada tahun 1983 iaitu tahun kelahiran anak sulungku Maisara Anum.  Kami dibawa menaiki satu van dan pergi menziarah makam yang diberi tanda tahun kembalinya ke rahmatullah ibu ku yang tersayang.  Kawasan itu dipagar dan tidak boleh masuk, di tepi jalan ditulis tahun 1970-1990.  Maka ditepi jalan itulah kami bertahlil dengan dipandu oleh mutawif yang bersama kami.  Apabila selesai, kami pun terus mengerjakan umrah beramai-ramai.
Waktu malam, aku, Kak Uda, Anjang, Bang Deraman, Bang Ngah dibawa oleh mutawif untuk mengerjakan umrah di waktu malam sepas maghrib kami pun memulakannya.

        Sebenarnya sewaktu memulakan perjalanan kami dari Kuala Lumpur, aku tersentuh dengan dua keluarga. Satu keluarga membawa anak yang cacat (akal dan fizikal) dengan menolaknya menggunakan kereta sorong, satu keluarga lagi anak lelaki membawa ibunya yang uzur di mana tiada ahli keluarga perempuan yang ikut bersama bagi menjaga ibunya.  Tetapi walau bagaimanapun masih ada insan yang turut membantu ibu berkenaan untuk membersihkan diri di dalam kapal terbang.  Aku amat tersentuh dengan peristiwa itu, tetapi di Madinah dan Makkah kami tidak terjumpa mereka, mungkin mereka menginap di tempat lain, begitulah.....   Berbalik kepada kisah kami sekeluarga pula, pada hari kelima selepas kami mengerjakan umrah di awal pagi, Kak Long ingin membawa kami melawat bandar Jeddah.  Agak jauh juga dan kami harus melepasi pintu imigresen, aku membawa sebotol air zam-zam sebagai bekalan sekiranya haus.  Keluar sahaja daripada tanah haram, air bekalanku menjadi tak sedap.... Ya Allah betapa agungnya kau, betapa besarnya nikmat yang kau tunjukkan.... Amin.

         Pada hari terakhir di Makkah, kami mengerjakan tawaf wida, iaitu tawaf selamat tinggal, hatiku tiba-tiba menjadi sebak dan menangis kerana begitu sedih untuk meninggalkan Kota Makkah.  Selepas mengerjakan tawaf, kami yang telahpun bersiap-siap terus dibawa menaiki bas untuk ke Lapangan Terbang Jeddah untuk balik ke Malaysia.  Sampai di lapangan terbang, aku bertemu sekali lagi dengan dua keluarga yang aku ceritakan, mereka sungguh gembira dan aku juga gembira melihat mereka dan kami pun bertegur sapa dan berbual-bual sehinggalah menaiki kapal terbang.  Sesampai di KLIA, kami pun berpisah membawa haluan masing-masing dengan keluarga yang menanti kepulangan kami.  Amboi... ramainya... macam balik haji pulak!!.... Aku, Kak Uda, Bang Deraman, Elly pun terus ke rumah Kak Long, Anjang, Abang Alang, Abang Ngah terus balik ke rumah mereka kerana mereka tinggal di Salak Tinggi alah kat KLIA jugak.....   Itulah pengalamanku mengerjakan umrah bersama adik beradikku.  Kenangan manis ini dirancang oleh Kak Long kerana niatnya untuk membawa kami menziarah kubur ibu yang amat kami rindui...... hingga ke saat ini.... Terima kasih Long, aku juga mendoakan kesihatan Kak Long aku di hadapan Kaabah supaya dipanjangkan usia, sihatkan tubuh badan, dan dimurahkan rezeki supaya dapat menyumbang untuk insan-insan yang memerlukan bantuannya.  Terlalu banyak jasa dan budi yang Kak Long aku taburkan untuk masyarakat dan juga keluarga kami.  Long... kaulah ibu dan kaulah bapa bagi kami.